Careline 24 hours
+603-5639 1212
 

Hospital Kedua Sime Darby Di Lembah Klang (Berita Harian)

25 Mei 2009 - Sime Darby Healthcare Sdn Bhd akan membuka sebuah lagi hospital di Lembah Klang, iaitu di Desa Park City berhampiran Kepong yang dijangka memulakan operasinya pada awal 2012.

Ia akan menjadi hospital kedua milik anak syarikat konglomerat Sime Darby Bhd itu yang turut memiliki Pusat Perubatan Sime Darby di Subang Jaya.

Sime Darby Healthcare turut memiliki Sime Darby Specialist Megah di Petaling Jaya yang menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit luar dan pusat latihan jururawat, Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Sime Darby di Shah Alam.

Ketua Eksekutif Sime Darby Healthcare, Elaine Cheong Pek Yim, berkata pembukaan hospital baru itu bertujuan menampung peningkatan permintaan bagi mendapatkan rawatan di hospital milik Sime Darby.

“Hospital baru ini akan mempunyai 300 katil sebagai tambahan kepada 393 katil yang ditawarkan di Subang Jaya,” katanya.

Cheong berkata, kerja pembinaan hospital itu akan dimulakan akhir tahun ini oleh pemaju kawasan perbandaran Desa Park City mengikut spesifikasi ditetapkan Sime Darby Healthcare.

“Pembukaan hospital baru yang akan dikenali sebagai Pusat Perubatan Sime Darby ParkCity itu sejajar dengan perkembangan syarikat ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Pusat Perubatan Sime Darby di Subang Jaya juga sedang dikembangkan menerusi pembinaan bangunan tambahan bersebelahan hospital sedia ada yang mengandungi wad dan tempat meletak kereta bawah tanah.

“Kerja pembinaan bangunan tambahan itu akan menambahkan bilangan katil di hospital itu sebanyak 50 katil lagi dan dijangka siap Oktober ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Sime Darby Healthcare dengan Medilink Network (PVT) Ltd of Bangladesh dan Medilink (Beijing) TPA Services Co di Subang Jaya, semalam.

MoU itu bagi membolehkan Sime Darby Healthcare mengadakan kerjasama dengan kedua-dua anak syarikat Medilink-Global (Asia) Pte Ltd itu bagi memasar dan mempromosi perkhidmatan penjagaan kesihatannya di Bangladesh dan China, dua pasaran barunya di Asia.

Menerusi MoU itu juga, kumpulan Medilink yang menyediakan perkhidmatan insurans kesihatan global boleh mendaftarkan pelanggannya bagi mendapatkan rawatan di hospital milik Sime Darby Healthcare di Subang Jaya.

Pada majlis itu, Cheong mewakili Sime Darby Healthcare manakala Medilink Bangladesh diwakili Pengarah Urusannya, Ali Ahsan dan Medilink China oleh Pengarah Urusannya, Yu Xiao Peng.

Ia disaksikan Setiausaha Komersial dan Pesuruhjaya Perdagangan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia, Dr Md Rezaul Bashar Siddique; Ketua Eksekutif Medilink-Global Electronic Healthcard Network, Malaysia, Shia Kok Fat dan Ketua Pegawai Operasinya, Jessie Wong.